Tuesday 20 June 2023

BUKAN HANYA PARTI PAS PERJUANG ISLAM

 
Pas mengaku dan mendakwa hanya parti tersebut sahaja memperjuangkan Islam, sedangkan parti-parti lain tidak. Hakikat sebenarnya, UMNO juga memperjuangkan Islam.
 
Perlembagaan UMNO telah dipinda pada tahun 2019 meletakkan perjuangan mendukung cita-cita Agama Islam sebagai keutamaan. Perjuangan menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam adalah perjuangan yang telah termaktub dalam perlembagaan UMNO.
 
Jangan hanya mendakwa Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam lalu menafikan perjuangan Islam parti lain. Malah lebih ekstrim apabila dikatakan masuk Pas bererti semua dosa disucikan dan diangkat setinggi-tingginya.
 
Lalu, mereka yang meninggalkan Pas pula dianggap seolah keluar daripada perjuangan Islam seingga dimaki dan dikutuk.
 
Sejak bila pula perjuangan Islam hanya milik Pas? Dan sejak bila pula Islam menghalalkan makian dan kutukan pada orang yang berbeza pandangan dan parti. Dan adakah itu ciri-ciri pejuang Islam yang makian menjadi manisan lidah meski pada waktu lain lidah basah dengan zikir?
 
Orang yang meninggalkan Pas dihukum keluar daripada "jemaah Islam". Sebab itu pengikut taasub Pas tidak “berani” meninggalkan Pas kerana ia dianggap sama seperti meninggalkan Islam.
 
Dalam sejarah Pas, pengasas Pas, Ustaz Fuad Hasan, Presiden Pas, Dato Asri Muda, panglima jihad Pas dan bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Hasan Adli dan pengasas Pas Kelantan, Ustaz Amaludin Darus meninggalkan Pas. Mereka semua dituduh keluar daripada "jemaah Islam".
 
Salah faham terhadap konsep "jemaah Islam" di kalangan ahli Pas mesti dibetulkan. Penyelewengan ini memberi kesan besar kepada sikap taasub berparti sehingga memutuskan persaudaraan Islam dan memecahkan umat Islam.
 
Ahli Pas ditarbiyah untuk menerima hanya Pas sebagai satu-satunya jemaah Islam di Malaysia lalu memandang serong pada semua orang Islam di luar Pas sedangkan kefahaman salah inilah menjadi sebab umat Islam berpecah di Malaysia.
 
Penyelewengan kefahaman inilah yang melahirkan budaya kafir mengkafir di Terengganu. Ia punca ahli Pas tidak solat di masjid kerajaan lalu membina masjid sendiri dan hanya solat Jumaat di masjid Pas sahaja. Inilah punca solat dua imam, akad nikah yang diwalikan oleh ahli UMNO tidak sah malah sembelihan orang UMNO tidak sah.
 
PAS telah undur jauh ke belakang pada saat gerakan Islam yang lain seluruh dunia menerima kepelbagai jemaah kecil dan kepelbagaian parti politik yang memperjuangkan Islam sebagai cara hidup.
 
Keluar dan masuk parti lain serta menubuhkan parti baru adalah fenomena gerakan dakwah di negara-negara Islam lain tetapi ia tidak diiktiraf oleh Pas kerana dakwaan mereka hanya Pas yang memperjuangkan Islam di Malaysia!

No comments:

Post a Comment