Tuesday 18 July 2023

TELAGA TIUB DAPATKAN AIR DALAM TANAH

 
Sistem telaga tiub (tube well) merupakan satu cara atau sistem yang digunakan untuk mendapatkan air dari dalam tanah dengan menggunakan paip PVC yang ditanam ke dalam tanah. Ia menjadi pilihan, selain menggunakan telaga tradisi, air sungai dan air tasik.  
 
Telaga tiub merupakan sumber air alternatif yang diambil airnya dari ke dalaman tanah lebih 20 meter atau beratus meter di bawah permukaan bumi.
 
Ada telaga tiub yang sangat berjaya dan ada yang kurang berjaya bergantung kepada sumber air di dalam tanah. Ada telaga tiub yang digerudi menghasilkan air yang berkekalan dan kualiti air yang bersih.
 
Sebaliknya, ada yang mengeluarkan air hanya dalam kuantiti yang sedikit. Terdapat juga telaga tiub yang mempunyai banyak air, tetapi airnya berbau atau keruh yang tidak sesuai untuk digunakan, khususnya untuk kegunaan di rumah atau domestik.
 
Kedalaman telaga yang diperlukan bergantung pada kedalaman lapisan simpanan atau laluan air dalam tanah. Biasanya tiub atau selongsong telaga tiub ini boleh menggunakan besi atau PVC yang tahan lama.
 
Air yang masuk ke dalam tiub ini akan sentiasa merembes dari sekelilingnya di mana dalam beberapa kes tertentu ia juga mengandungi zarah pasir atau kelodak yang mana ia boleh menyebabkan cepat pam cepat rosak (akibat haus bergeser dengan pasir pada injapnya). Penting juga dipasang penapis sesuai untuk menghalang pasir dan kelodak.
 
Jumlah air yang boleh dipam naik bergantung kepada “takungan” air di dalam tanah. Terdapat takungan air atau laluan air bawah tanah yang kadangkala cetek berdekatan dengan permukaan tanah dan ada yang berada jauh kedalam tanah.
 
Telaga tiub juga dipanggil sebagai 'air boring' atau “telaga borint”. Boring itu berasal dari perkataan 'menggali' atau 'bore' tanah sehingga menjumpai air bawah tanah yang dicari.
 
Bukan semua kawasan adalah sesuai untuk digali kerana di sesetengah tempat, airnya akan berbau busuk dan berwarna merah disebabkan mengandungi toksik logam atau air asidik yang tidak sesuai bagi digunakan sebagai air minuman atau pun air untuk tanaman. 
 
Selain itu juga sebaiknya kawasan yang berhampiran dengan sistem kumbahan seperti tangki kumbahan adalah tidak sesuai digali kerana air kumbahan mungkin akan diserap masuk ke dalam air bawah tanah itu dan tercemar air bawah tanah kawasan tersebut.
 
Tambahan pula, kawasan yang terdapat air paya, sawah padi, kawasan tanah gambut dan berhampiran laut juga tidak sesuai untuk digali telaga tiub.
 
Tempat yang sesuai adalah di kawasan tanah liat dan di bawahnya terdapat lapisan pasir yang bertindak sebagai penapis semula jadi sebelum air tersebut disedut ke permukaan bumi. 

No comments:

Post a Comment