Monday 24 July 2023

BEBAN BERPOLITIK PADA USIA LANJUT

 
Dalam politik memang luar biasa rentak tarinya. Banyak ahli politik menari mahupun bersilat tidak mengikut paluan gendang, gong, gendombak, tiupan serunai dan apa-apa peralatan lain. Mereka memilih tingkah yang jauh berbeza berbanding sebelumnya.
 
Mereka pernah menuduh sesama mereka sebagai sesat. Mereka pernah menuduh sesama mereka sebagai diktator. Mereka pernah menuduh sesama mereka sebagai taghut. Mereka pernah menuduh sesama mereka dengan berbagai tuduhan dan kata-kata kesat.
 
Rakyat jadi berpecah dan bertelingkah kerana mereka. Bukan sedikit kerosakan berlaku disebabkan sikap dan perbuatan mereka pada masa lalu.   
 
Mereka itu pun semuanya sudah lanjut usia. Mereka telah menikmati pelbagai kemewahan hidup selama ini di atas wang rakyat. Pelbagai gaji, elaun, pencen mencecah ratusan ribu setiap bulan.
 
Apa lagi yang mereka inginkan di dunia ini? Jangan tambah kemusnahan dan derita rakyat akibat sikap tidak berpuas hati dan dendam yang tidak berkesudahan.
 
Berilah peluang orang lain mentadbir negara ini. Setiap pemimpin ada gaya kepimpinan masing-masing. Ia bukan boleh dinilai dengan hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
 
Ketahuilah bahawa pemimpin memikul tugas dan tanggungjawab yang berat. Ia tidak sesuai dipikul oleh mereka yang sudah berusia lanjut.
 
Memang yang sudah berusia masih ada peranan dan tanggungjawab, tetapi cukuplah sekadar sebagai penasihat. Berilah yang muda dan bertenaga berada di barisan hadapan.
 
Pemimpin tidak melaksanakan tugas berseorangan. Mesti ada pembantu untuk melancarkan tugas kepimpinan.  
 
Jika Allah mahukan kebaikan kepada pemimpin, nescaya akan diberikan kepadanya pembantu yang baik dan jujur. Pembantu yang baik akan berusaha dengan kemahiran yang ada membantu melaksanakan tugas-tugas ketua dengan cemerlang dan sentiasa diredai Allah.

No comments:

Post a Comment