Tuesday 6 August 2024

MASUK KELUAR PARTI PERKARA BIASA

 
Aktiviti atau tindakan masuk atau menjadi ahli parti sudah perkara biasa. Begitu juga jika keputusan untuk keluar atau meninggalkan parti. Masuk dan keluar parti itu hak individu.
 
Pun begitu, dalam kes ahli parti yang terikat dengan perjanjian dan aku janji, keluar parti boleh mendatangkan masalah besar. Bagi ahli yang berstatus ahli yang berhormat sama di Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka terikat kepada undang-undang antilompat parti dan perjanjian dengan parti.
 
Dalam keadaan itu, jangan ambil mudah dalam soal hendak keluar parti. Nanti ada yang kena denda atau bayar ganti rugi sehingga RM100 juta. Banyak tu.
 
Sebenarnya, kalau sudah tidak suka, tinggalkan saja. Tidak perlu cerita perkara buruk tentang bekas parti pernah disertai. Kalau cerita yang buruk, maksudnya menceritakan buruk diri sendiri. Mengapa dulu terlalu sayangkan yang buruk itu?
 
Sudah banyak kali orang kecewa akan tinggalkan parti. Ada juga yang dibuang oleh parti. Mereka tubuh parti baru. Itu hak dan kebebasan dalam negara demokrasi.
 
Katalah apa yang ingin dikatakan. Parti baru itu bukan serpihan atau bukan kerana kecewa ia ditubuhkan. Itu pendapat dan keyakinan masing-masing. Asalkan jangan duduk buat fitnah dan ganggu orang lain. Itu hak dalam negara demokrasi untuk mengatakan baik tentang diri sendiri. 
Sama ada parti politik baru yang diwujudkan untuk mengisi kekosongan atau kepentingan peribadi, itu tidak penting. Tubuhlah sebanyak mana parti yang diingini. Kerajaan tidak sekat selagi ia memenuhi syarat yang ditetapkan.
 
Memang parti baru mempunyai visi yang berlainan. Jika sama dengan yang dulu, tentu sekali tidak akan wujud parti baru. 
 
Rakyat dan penyokong parti akan membuat penilaian. Rakyat tidak dikongkong atau dihalang daripada menyertai mana-mana parti. Rakyat sudah matang dan dapat membuat pilihan sendiri parti mana ingin disokong.
 
Namun, satu perkara diingatkan, jangan jual maruah bangsa, agama dan negara semata-mata untuk berkuasa. Perbautan itu adalah petualang dan musuh negara.
 
Buatlah apa saja yang difikirkan betul. Pada anda betul, tetapi pada pihak lain tidak betul. Itulah perbezaan pendapat. Beza pendapat jangan sampai wujud perpecahan hingga merugi agama bangsa.
 
Islam perlu kuat. Islam menyediakan cara hidup dan bernegara yang benar. Tetapi, jika kita hanya mementingkan diri dan kelompok, banyak perkara ditegah oleh agama dilakukan.
 
Islam suruh bersatu, tetapi mengapa perbalahan pula dilakukan. Islam menyuruh istiqamah, tetapi ramai yang mudah mengaku kalah dan kecewa.
 
Kalau gagal, jangan salahkan orang lain. Muhasabah diri dan fikirkan kembali untuk berjaya. Sekali kalah, bukan kalah selama-lamanya. Perjuangan yang benar perlu diteruskan. Jangan mudah kecewa dan merajuk.

Gambar sekadar hiasan. 

No comments:

Post a Comment