Malaysia didiami warganegara berbilang
bangsa dan anutan agama. Justeru, menampakan pelbagai perbezaan cara hidup
dan pemikiran. Namun, segala perbezaan itu mampu dizahirkan secara harmoni dan
saling memberi manfaat.
Amat malang
sekali apabila suasana aman sejahtera yang dinikmati sebelum ini mula dirobek oleh
sesetengah pihak yang lebih mengutamakan kepentingan kelompok dan peribadi
masing-masing.
Kemudahan
media sosial yang menjadi cara hidup masyarakat sekarang telah disalah guna
untuk meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu
agama dan kaum.
Golongan ini
sebenarnya keliru dengan tindakan yang dilakukan, kononnya tindakan itu untuk
kebaikan. Sikap ekstrim dan hilang kewarasan fikiran menjadikan mereka tidak
dapat membezakan apa yang baik dan buruk.
Pandangan
ekstrim berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemai rasa
benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama kaum wajib dihentikan.
Bumi
ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang
boleh membunuh pohon perpaduan langit di negeri ini, jangan sama sekali
dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid yang akan menghujani bumi dengan
fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama.
Negara
memiliki elemen yang begitu mudah untuk dieksploitasi mencetuskan anarki,
kerukunan perhubungan kaum yang telah diasaskan sejak era pra merdeka dan terus
dipupuk sepanjang era pasca merdeka tidak boleh diperjudikan kerana permainan
politik yang berunsur meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat.
Oleh itu, disarankan
agar setiap individu berperanan untuk memastikan hubungan harmoni antara kaum
terus disuburkan dan persfahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk.
No comments:
Post a Comment